Keluarga sahabat maut angkara ‘Si Mabuk’, PU Rahmat tuntut tindakan keras
Tiga sekeluarga maut apabila kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 37, Jalan Klang-Teluk Intan berhampiran Kapar, Jeram dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Supt Ramli Kasa berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 10.30 malam itu ketiga-tiga mangsa maut di lokasi kejadian.
Mangsa yang maut ialah pemandu kereta Honda City, Nurkhalisah Ali Yusri, 24, adiknya, Nur Syafiqah Ali Yusri, 17, dan ibu mereka, Anni Kholilah, 42, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
3 beranak maut
Katanya, pemandu kenderaan pacuan empat roda jenis Nissan Frontier berusia 40 tahun itu mengalami kecederaan parah dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tanjong Karang.
Ramli berkata kenderaan pacuan empat roda itu dipercayai telah terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta Honda City dinaiki ketiga-tiga mangsa.
“Siasatan awal mendapati terdapat sebuah lagi kereta berjaya mengelak daripada terlibat dalam kemalangan tersebut namun terlanggar bahagian sisi Nissan Frontier berkenaan…”
Katanya, pemandu sebuah lagi kenderaan tidak mengalami sebarang kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Pemandu mabuk hidup, ibunya meninggal
Dalam pada itu, menerusi perkongsian di laman Facebook, pendakwah PU Rahmat, menyatakan kemalangan tersebut berpunca daripada pemandu mabuk.
PU Rahmat berkata, mangsa kemalangan tersebut adalah ibu kepada seorang sahabatnya, membuatkan dia turut berasa terkesan dengan musibah yang melanda keluarga mangsa.
Diharapkan, undang-undang berkaitan kes pemandu mabuk ini dapat diperketatkan lagi kerana sudah terlalu nyawa insan tidak berdosa terkorban di atas kecuaian orang lain.