PAS: Senarai semua projek RM6.61 bilion rundingan terus PH



  Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa agar semua projek rundingan terus yang telah diluluskan oleh Kementerian Kewangan sewaktu pentadbiran PH disenaraikan kepada umum.

Ia susulan kenyataan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat semalam bahawa sejumlah 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion diluluskan oleh kementerian tersebut sewaktu pentadbiran kerajaan PH.

Tuan Ibrahim yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air berkata, kenyataan itu pastinya mengejutkan rakyat memandangkan PH selama ini melaungkan prinsip tender terbuka, termasuk dalam manifestonya.

“Rakyat tentu terkejut dengan pendedahan tersebut, kerana selama ini PH melaungkan slogan tiada projek runding terus, bahkan dalam manifesto PH semua projek akan dibuat secara tender terbuka.


“Sikap hipokrit PH ini semestinya tiada tandingan meskipun mereka sering menuduh orang lain.

"PAS menggesa agar semua projek runding terus yang telah diluluskan, kos projek dan kontraktor yang memperolehi projek tersebut disenaraikan untuk tatapan umum," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Tengku Zafrul
Tengku Zafrul membangkitkan perkara itu ketika penggulungan RUU Langkah-langkah sementara bagi pembiayaan kerajaan (penyakit koronavirus 2019) Covid-19 2020 di Dewan Rakyat semalam.

Perkara itu membuatkan sidang menjadi gamat dan bekas menteri kewangan Lim Guan Eng bangun dan berkata dia terbuka jika senarai penerima tender rundingan terus itu didedahkan.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim (PH - Port Dickson) kemudian bangun mempertahankan Lim dengan bersetuju supaya senarai tersebut diumumkan.

“Saya setuju supaya semua senarai kontrak tanpa tender dihebahkan kepada awam dan semasa PH atau semasa PN,” kata Anwar.

Guan Eng juga cabar menteri senaraikan

Dalam satu hantaran Facebook semalam, Lim berkata pentadbiran PH mengamalkan tender terbuka melainkan pengecualian berdasarkan syarat-syarat tertentu.



 “...Seperti perolehan masa krisis atau bencana alam, perolehan yang berkepentingan nasional dan melibatkan keselamatan negara, kepakaran khusus yang diperlukan dan sebagainya,” katanya.


Lim Guan Eng
Ahli Parlimen Bagan itu turut mencabar Tengku Zafrul untuk mendedahkan senarai penuh secara langsung bukan sahaja oleh PH, malah Perikatan Nasional (PN) dan BN ketika mentadbir negara.

“Tengok kroni-kroni siapa yang dapat projek. Atau takut kalau terbongkar nanti bahawa perdana menteri dan menteri-menteri 'pengkhianat' pun ada minta tender 'direct award' daripada saya semasa menjadi menteri kewangan?" dakwanya.

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Mohd Razlan Rafii menggesa kerajaan PN agar membatalkan semua tender-tender tersebut.

"Bagaimana mungkin dengan hanya 22 bulan, kerajaan PH boleh menilai sebanyak 101 projek dilaksanakan secara rundingan terus...Kerajaan PH telah berikan tender terus kepada syarikat berkepentingan dengan kerajaan PH," dakwanya, yang turut menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara itu.

Pemuda Umno Kelantan juga menggesa SPRM membuka siasatan terhadap rundingan terus yang didakwanya melibatkan Lim.

Ketuanya Noor Hariri Mohamed Noor berkata ia bagi memberi pengajaran kepada pemimpin politik lain.

"Kami sependapat dengan ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk mendesak SPRM membuka siasatan baru terhadap Lim, seterusnya memberikan bukti kukuh kepada peguam negara untuk mendakwanya di mahkamah," katanya dalam kenyataan.