Mulianya hati jemaah Masjid As-Salihin Kampung Paya Rumput


  SEBAGAI simpanan masa depan buat 35 anak yatim, Masjid As-Salihin Kampung Paya Rumput di Melaka mengambil inisiatif memberi Sijil Simpanan Premium (SSP) Bank Simpanan Nasional sebanyak RM200 setiap seorang hari ini.

Kutipan sumbangan daripada ahli jemaah termasuk menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook masjid berkenaan di salurkan menerusi konsep SSP sebagai inisiatif simpanan masa depan anak yatim terbabit.

Setiausaha masjid berkenaan, Roslan Yahya berkata, idea berkenaan timbul menerusi perbincangan ahli jawatankuasa sebagai usaha mengubah nasib mereka yang tidak bernasib baik bagi jaminan masa depan penerima.

Katanya, kemungkinan antara mereka akan menerima cabutan bertuah menerusi SSP dan jika tidak berjaya, ia menjadi simpanan dan perbelanjaan pendidikan mereka kelak.

"Sementara itu seramai 22 ibu tunggal juga menerima sumbangan wang tunai bagi menampung perbelanjaan mereka sempena program sambutan Maal Hijrah.

"Keseluruhan sebanyak RM13,000 disumbangkan oleh jemaah masid termasuk daripada ahli perniagaan, kakitangan awam dan swasta bagi disalurkan kepada penerima," katanya.

Penyampaian sumbangan disempurnakan Pengerusi Masjid Kampung Paya Rumput, Khalil Ahmad.

Sementara itu, Khalil berkata, penganjuran berkenaan sebagai usaha dan komitmen membantu meringankan beban golongan yang memerlukan.

Beliau berkata, penerima yang berusia 9 hingga 16 tahun itu begitu teruja menerima sumbangan dengan setiap mereka menyatakan keazaman untuk belajar bersungguh-sungguh dalam membela masa depan diri dan keluarga.